Sempena Bulan
Ramadan yang dijangka akan jatuh pada 29 Jun 2014 (Ahad ini), suka saya ingin menarik perhatian pembaca berkaitan
dengan amalan berpuasa. Bulan Ramadan sebenarnya merupakan bulan kesihatan,
walaupun pada zahirnya berpuasa ialah menahan diri
daripada mengambil sebarang makanan dan minuman dalam jangka masa tertentu.
Sebenarnya, berpuasa merupakan cara paling berkesan menyucikan darah, organ dan
semua tisu badan serta menolong mengelakkan kemerosotan badan secara pra-matang.
Ketika berpuasa pada bulan Ramadan, kadar metabolik individu akan menurun dan
mekanisme pengawal aturan yang lain mula
berfungsi.
2. Secara
amnya, berpuasa digunakan dalam bidang perubatan untuk pengurusan berat badan
dan menurunkan paras lemak darah dengan merehatkan saluran pencernaan. Kesan
fisiologi berpuasa dikatakan dapat menurunkan paras gula dan kolesterol darah,
menurunkan tekanan sistolik darah dan memastikan lemak daripada makanan dan
tubuh digunakan secara berkesan. Pada hakikatnya, puasa Ramadan merupakan
saranan ideal untuk rawatan penyakit diabetes jenis 2 (tidak bergantung kepada
insulin), obesiti dan hipertensi essential yang sederhana dan stabil.
Sebaliknya, pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, penyakit
jantung koronari, batu karang, buah pinggang dan sebagainya dikecualikan
daripada berpuasa. Mereka harus mendapatkan nasihat doktor sekiranya ingin
berpuasa.
3. Walau
bagaimanapun, bagi di negara Malaysia secara khusunya sebaliknya berlaku.
“Syurga
Makanan”,
itulah ungkapan yang sesuai digambarkan apabila tiba
bulan Ramadan. Bukan sahaja bagi umat Islam, bahkan kaum lain di negara ini
terutama dengan adanya bazar Ramadan. Selagi tidak penuh
makanan di pinggan, seperti tidak lengkap menu berbuka puasa. Golongan wanita
pula tidak perlu penat memasak. Semuanya seperti sudah tersedia dengan pelbagai
juadah yang ada di bazar Ramadan. Lauk-pauk, kuih-muih, pencuci mulut dan
minuman boleh dibeli untuk hidangan keluarga. Ada yang bertanya,
cukup tak makanan kita hari ni?. Ada pula yang berkata,
tidak seronok pula tanpa manisan serta minuman sejuk. Sekirannya amalan ini diteruskan maka sia-sia lah
manfaat berpuasa yang sepatutnya memberi manfaat kesihatan yang optimum. Oleh
itu, ambil kesempatan Ramadan kali ini dengan merancang menu bersahur dan
berbuka untuk keluarga anda dengan seimbang. Bersederhanalah ketika membeli
juadah di bazar Ramadan. Bersama-sama ini juga disertakan saranan diet ketika
bersahur dan berbuka sebagai panduan kita
bersama.
Saranan Diet Ketika Berpuasa
1.Bersahur
Disarankan mengambil makanan yang dihadamkan secara perlahan termasuklah makanan yang mengandungi fiber .Ini kerana makanan ini dapat bertahan selama lebih kurang lapan jam dan ini dapat mengurangkan rasa lapar selepas bersahur sehingga waktu berbuka.Makanan yang dihadamkan secara perlahan adalah makanan atau produk bijirin dan bijian seperti barli, gandum, oat, sekoi, tepung suji, tepung penuh mil, kacang dan kekacang, nasi perang dan sebagainya (dikenali sebagai karbohidrat kompleks). Makanan yang mengandungi serat (juga dapat bertahan agak lama) adalah makanan yang mengandungi bran, gandum penuh mil, bijirin dan bijian, oat, nasi ulam, sayur-sayuran seperti kacang hijau, kacang pis, bayam, pucuk ubi, buah-buahan dengan kulit, buah kering terutama aprikot, buah tin, kurma dan prun, kacang seperti badam dan sebagainya.
Kurangkan Makanan yang cepat dihadam dapat bertahan 4 jam sahaja. Makanan yang cepat hadam ialah makanan yang mengandungi gula, gula putih dan sebagainya (dipanggil karbohidrat ringkas). Contoh makanan termasuklah kuih manis, minuman sirap, kordial dan minuman tin. Pengambilan makanan ini secara berlebihan boleh mengakibatkan seseorang berasa letih atau lesu sejurus selepas makan. Justeru itu, kurangkan mengambil makanan yang tinggi kandungan garam atau masin kerana ini boleh mengakibatkan rasa dahaga pada siang hari.
2.Berbuka
Dinasihatkan untuk mulakan berbuka dengan kurma seperti yang disunatkan dalam agama dan seterusnya dengan makanan yang ringan dan mudah dihadam seperti buah-buahan, jus buah-buahan, sayur-sayuran diikuti dengan makanan yang sederhana dan kemudiannya snek secara berkala. Cara penyediaan juadah juga mestilah dengan cara masakan yang sihat seperti kurangkan minyak, lemak, gula dan garam dalam masakan.
Rancanglah menu berbuka dengan makanan seimbang. Minum air secukupnya secara dari waktu berbuka sehinggalah waktu bersahur.
No comments:
Post a Comment